Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Minda Mumtaz.

Minda Mumtaz.
Formulasi Makanan Sunnah untuk Perkembangan Minda & Kecerdasan Badan

Saturday, September 26, 2009

SELCAT@Hassan Ali : Nampaknya Pakatan Rakyat sedang mempermainkan UMNO/BN.. | Nizar News

STRATEGI POLITIK PAS SELANGOR

Sebelum ini saya menulis mengenai "Dr Hassan Ali & Politik Terbuka". Dalam tulisan itu saya sebutkan bahawa Pakatan Rakyat harus membudayakan teguran terbuka kerana itulah yang tuntut oleh rakyat pada masa ini.

Apa yang saya tidak sebutkan dalam tulisan itu ialah politik tidak ubah seperti permainan bola sepak. Setiap pemain ada peranan tersendiri. Ada pemain penyerang, ada pemain pertahanan dan ada penjaga gol. Sekiranya setiap orang bermain pada peranan masing-masing, pasukan itu akan menang.

Apabila Dato' Dr Hassan Ali mengkritik Selcat, ada yang mengatakan bahawa itu adalah bibit-bibit perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Saya tidak fikir begitu. Malah, saya berpendapat ia akan semakin mengukuhkan pakatan itu di Selangor. Dr Hassan hanya memainkan peranan yang diharapkan darinya dalam pakatan tersebut.

Dalam kes ini, Dr Hassan memainkan peranannya dengan baik. Apabila dia mempertahankan pegawai kerajaan, mereka akan melihat ada pemimpin kerajaan negeri yang memihak dan mempertahankan pegawai-pegawai kerajaan, terutama sekali Pegawai-pegawai Daerah yang terpaksa hadir dalam sesi pendengaran awam Selcat.

Bukan rahsia lagi pegawai-pegawai kanan kerajaan ini begitu marah kepada Selcat. Tidak setakat itu, malah sekarang sudah ramai pegawai-pegawai kerajaan yang tidak senang apabila rakan sejawat dipersoalkan sedemikian. Dr Hassan menggunakan istilah "diperlakukan seperti budak sekolah."

Oleh itu, apakah jalan keluar bagi meredakan kemarahan ini?

Strateginya ialah menggunakan Dr Hassan untuk mempertahankan pegawai-pegawai kerajaan. Apabila melihat Dr Hassan membela, mereka akan menjadi sejuk hati. Walaupun mereka masih marah kepada Selcat, sekurang-kurangnya "pembelaan" Dr Hassan akan menjadikan panas hati berkurangan. Peranan ini tidak dimainkan oleh Barisan Nasional atau UMNO. Sampai sekarang BN tidak dilihat secara terbuka membela pegawai-pegawai kerajaan.

Sesetengah pihak berpendapat Dr Hassan sepatutnya memprotes dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan bukannya melalui media. Itu satu pandangan yang betul. Bagaimanapun, seseorang ahli politik yang pintar bukan saja harus melakukan sesuatu, tetapi memberitahu dunia apa yang dilakukannya. Bukankah satu cara terbaik untuk memberitahu pegawai-pegawai kerajaan bahawa Dr Hassan membela mereka dengan membuat kenyataan akhbar?

Atas sebab itulah saya katakan bahawa tindakan Dr Hassan itu adalah satu strategi yang baik. Sementara PAS dilihat membela pegawai kerajaan, Speaker Teng Chang Kim memainkan peranan yang diharapkan oleh DAP. Akhir sekali, tindakan kedua-duanya akan membawa sokongan rakyat kepada pakatan tersebut.

Mungkin ada yang bertanya mengenai kenyataan Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman yang berkata parti itu sedia menimbangkan untuk keluar Pakatan Rakyat (lihat muka depan Berita Harian 25 September, 2009).

Di mata kasar, ia dilihat sebagai satu kenyataan yang cukup tegas. Bagaimanapun, saya melihat sebaliknya. Sekali lagi, ia tidak lebih dari satu strategi politik dan akhbar arus perdana terperangkap dengan strategi ini apabila meletakkannya di muka depan.

Saya berpendapat dalam apa keadaan sekali pun, PAS tidak akan keluar Pakatan Rakyat.

Pertama, bukan mudah untuk berada di puncak kuasa. PAS sudah berada di situ dan ia tidak akan meninggalkan kerusi itu dengan mudah.

Kedua, kalau PAS keluar Pakatan Rakyat maka ia akan menjadi pembangkang. Dulu, Barisan Nasional mempunyai 20 kerusi di DUN Selangor, manakala PKR mempunyai 15 kerusi, DAP sebanyak 13 kerusi dan PAS sebagai parti minoriti dengan 8 kerusi DUN. Tatkala itu, sekiranya PAS keluar Pakatan Rakyat, ia masih berpeluang bergabung dengan Barisan Nasional bagi membentuk kerajaan. Tatkala itu, sekiranya PAS bergabung dengan Barisan Nasional, gabungan itu akan mempunyai 28 kerusi, iaitu sama dengan gabungan PKR dan DAP yang juga ada 28 kerusi.

Hari ini, perseimbangan itu tidak wujud lagi. Seramai enam orang ADUN BN digantung, menjadikan parti itu hanya mempunyai 14 orang ahli DUN. Gabungan PAS dan BN tidak memberikan apa-apa kesan kepada kerajaan sekarang. Kedua-duanya akan menjadi pembangkang dan saya tidak fikir itu pilihan yang PAS mahu.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa strategi PAS dan Dr Hassan dalam hal ini ternyata berjaya -- sekurang-kurangnya setakat ini.

Oh ya, jangan lupa. Saya sebutkan tadi bahawa politik seperti permainan bola sepak.

Permainan bola sepak tidak sama dengan rugbi. Pemain rugbi mengejar sebiji bola. Apabila mendapat bola itu, mereka akan memeluknya.

Bagaimanapun, ini berbeza dengan permainan bola sepak. Dalam permainan bola sepak, kesemua 22 orang pemain akan mengejar sebiji bola. Apabila dapat, mereka akan menendang bola tersebut.

Ah, begitulah bola sepak.

Dan, begitu jugalah politik!

No comments: