Firman Allah dalam surah al-An’am ayat 68: Maksudnya:
Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek ayat-ayat kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama mereka sesudah engkau mengingati (akan larangan tersebut).
Kata al-Qadi Abu Bakar Ibn al-Arabi, “ayat ini adalah dalil bahawa tidak dihalalkan duduk bersama ahli mungkar”. [rujukan Ahkam al-Quran, jld 2,m.s.260, cetakan dar al-Fikr]
Duduk bersama golongan mungkar tidak dibenarkan apatah lagi menyokong, membantu dan menolongnya.
Firman Allah dalam surah an-Nisaa ayat 140: Maksudnya:
Dan sesunguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam kitab (al-Quran),iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (olehkaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu seperti mereka.
Kata Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini: “Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redho dengan perbuatan mereka”.
Katanya lagi: “Firman Allah: (bermaksud) kalau demikian, kamu sama seperti mereka…: sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat (menderhakai Allah) dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebuat didalam ayat ini. [rujukan: Tafsir ayat al-Ahkam, jld 5, 418, dar al-Fikr, Beirut]
Sesiapa yang terus menyokong golongan atau pemimpin yang melakukan kejahatan dan kezaliman serta mempermainkan ayat-ayat Allah, maka sesungguh dia sama-sama menanggung dosa dengan pemimpin tersebut.mungkin dia berkata, saya tidak menzalimi orang lain, atau mempersendakan agama tetapi sekadar menjadi ahli biasa parti sahaja, sedangkan pemimpinnya zalim dan jahat maka dia turut menanggung dosa. Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 66- 67: Maksudnya:
Pada masa muka-muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “alangkah baiknya jika kami dulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul” dan mereka berkata lagi “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar”.
Demikianlah halnya ahli neraka yang dahulunya menjadi pengikut setia para pemimpin yang melanggari ajaran Allah dan Rasulnya. Mereka yang taat dan terus setia sehingga akhirnya mereka dihumbankan ke dalam neraka.
Firman Allah dalam surah al-Hud ayat 113: Maksudnya:
dan janganlah kamu cenderung kepda orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun dari yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
No comments:
Post a Comment