Bab 21: Lailatulqadar
LailatulQadar dianggap malam yang sangat istimewa kerana dinamakan sendiri oleh Allah s.w.t didalam alQuran. Kemudian Allah telah mengkhususkan satu surah dengan nama surah alQadr yang menunjukkan istimewanya malam tersebut.
Surah alQadr ini merupakan surah Makiyyah, iaitu diturunkan di Makkah dan merupakan surah ke 25 menurut turutan surah-surah alQuran. Mujahid r.a. telah meriwayatkan sebab turunnya ayat ini dimana Nabi s.a.w telah diceritakan tentang kisah seorang lelaki bani Israel yang memikul pedang berjuang dijalan Allah selama 1000 bulan. lalu baginda rasa dukacita atas umur umat baginda yang pendek lalu turunlah ayat ini.
Surah ini menceritakan tentang alQuran yang diturunkan oelah Allah s.w.t secara keseluruhannya pada malam yang dinamakan dengan alQadr. Makna alQadr didalam surah ini ialah hukum, tadbir atau ketentuan. Apa yang dimaksudkan pada malam tersebut ialah Allah menentukan taqdir dan ketentuan sesuatu perkara sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas r.a, malam alQadar juga bermaksud satu malam yang mulia dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Allah s.w.t menyatakan bahawa malam alQadr adalah lebih baik dari 1000 bulan. apa yang dimaksudkan ialah nilai kelebihan bagi mereka yang beramal dimalam tersebut menyamai ibadat selama 1000 bulan atau bersamaan 82 tahun lebih. Ayat ini memberitahu bahawa erti dan nilai kehidupan bukanlah selama mana kita dapat hidup, tetapi nilai umur seseorang bagaimana dia dimanafaatkan sepenuhnya. Seseorang yang beribadah meskipun umurnya pendek adalah lebih mulia dari seorang ynag umurnya lanjut tapi jauh dari Allah.
Malam alQadr jika diisikan dengan ibadah, maka nilainya seperti beribadah selama 82 tahun jika dihidupkan sekali sahaja. Cuba kira jika dilakukan sepuluh malam alQadr, isinya menyamai beribadah selama 820 tahun! Dihujung ayat ini Allah s.w.t mengakhiri dengan perkataan salam yang bermaksud sejahtera iaitu orang yang menghidupkan malam tersebut akan mendapat kesejahteraan ya'ni ganjaran syurga dari Allah azzawajala.
Sabda Nabi Mhammad s.a.w yang bermaksud: "barangsiapa yang mendirikan lailatulQadr dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosanya yang telah lalu" (Bukhari Muslim)
Mencari malam alQadar bukanlah dengan berjaga sahaja atau beribadaha pada hari-hari tertentu sahaja tetapi hendaklah dilakukan secara istiqomah bermula dari malam pertama Ramadhan. Pencarian ini juga mestilah dilandaskan pada niat yang ikhlas, ya'ni mahu mendapatkan redho Ilahi dan bukannya kerana mahu menebus dosa kemudian melakukannya semula.
Berkenaan dengan tanda-tanda lailatlqadar antaranya ialah:
1. Malam tersebut terang dan bercahaya.
2. Ketenangan malam yang dapat dirasai oleh mereka yang beriman.
3. Angin bertiup lembut.
4. Ada yang bermimpi menemui malam alQadar pada malam tersebut.
5. Rasa kelazatan ibadah yang berbeza pada malam tersebut.
6. Matahari terbit pada fajar keesokannya dengan kesuraman cahaya dan cerah tidak seperti hari-hari yang lain.
Ubay bin Ka'ab meriwayatkan ahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud "ia (tanda lailatulQadr) ialah matahari terbit tanpa cahaya yang terlalu terang" (Muslim)
No comments:
Post a Comment