Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Minda Mumtaz.

Minda Mumtaz.
Formulasi Makanan Sunnah untuk Perkembangan Minda & Kecerdasan Badan

Monday, November 1, 2010

SEMBANG BERSAMA… Datuk Tuan Ibrahim, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar


Oleh : Li Fook Gao

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…

Datuk Tuan Ibrahim (TITM), Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Soalan 1:

Berikan satu cadangan pertukaran kepada Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

TITM: Pembentangan belanjawan baru-baru ini dilihat wujud kecelaruan dalam pengurusan harta awam oleh kerajaan BN. Terdapat pelbagai isu yg dibangkitkan oleh pelbagai pihak. Pembinaan Menara Warisan Merdeka yang menelan kos RM 5 billion dilihat sebagai satu projek membazir dan hilang fokus dalam usaha merakyatkan ekonomi.

Alangkah baiknya, sekiranya wang tersebut dapat disalurkan kepada perkara yang boleh mendatangkan manfaat secara langsung kepada rakyat seperti pembinaan rumah rakyat, sekolah dan kemudahan asas rakyat.

Dalam keadaan rakyat masih tidak mendapat keperluan asas seperti air bersih, bekalan eletrik, rumah rakyat termiskin, dan sebagainya... namun terasa kesalnya ada pemimpin melihat perlunya namanya terpahat di dada bangunan persis era Firaun yang bangga dengan bangunan piramid walaupun terpaksa mengorbankan ribuan nyawa.

SA: Saya berpandangan kalau saya diberikan kesempatan untuk menamakan bajet, saya akan namakannya ‘Bajet Untuk Rakyat’ yang akan lebih menumpukan perhatian kepada golongan fokus yang perlu diselesaikan.

Keutamaan mesti diberikan kepada pembinaan infrastruktur yang masih tidak sempurna, dan yang keduanya, saya akan menumpukan kepada bagaimana kita dapat membantu industri kecil dan sederhana – kumpulan SME yang perlu diberikan tumpuan sebagaimana yang saya pelajari dari Korea dan Jepun, di mana mereka memang bermula daripada ‘cottage industry’ – yang kita boleh sifatkan sebagai SME juga yang akhirnya membantu Jepun dan Korea menjadi negara maju.

Kemudian, pengagihan hasil daripada kekayaan negara itu, kita perlulah fokus kepada golongan sebegini dan tidaklah kita habiskan begitu banyak pada projek-projek mega sebagaimana yang diumumkan.

MO: Pertama sekali, mesti dibatalkan projek Warisan Merdeka dan peruntukan RM 5 billion itu seharusnya diperuntukan untuk menyediakan tanah berjumlah 1.2 juta ekar, dan kita boleh kepada 125, 000 orang. Ini bermakna kita dapat membantu dalam menyelesaikan masalah rakyat yang tidak bertanah di negara ini.

Ini suatu yang lebih baik bagi kita memanfaatkan peruntukan itu secara betul.

Soalan 2:

Apakah usaha yang tengah dilakukan PAS untuk menyediakan bajet alternatif yang penuh dengan ciri ekonomi Islam untuk tatapan rakyat sebelum PRU-13?

TITM: Perbentangan belanjawan yang dibentang oleh Pakatan Rakyat bertujuan menjelaskan kepada rakyat bagaimana sepatutnya khazanah negara diuruskan.

Pakatan Rakyat bukan sahaja berjaya membuktikan kesediaan PR untuk mengambil alih teraju pemerintahan, tetapi turut mendedahkan pelbagai keutamaan dalam perancangan ekonomi negara.

PR juga telah berjaya membuktikan pengurusan ekonomi negeri PR yang nyata lebih baik berbanding negeri di bawah BN sebagaimana yang dilaporkan audit negara.

PAS mengemukakan asas-asas pengurusan ekonomi Islam dengan menekankan soal pengagihan kekayaan negara secara adil, persoalan aulawiyat dalam pengagihan kekayaan negara, membasmi miskin tegar dan menjauhi amalan riba dalam urusan ekonomi.

SA: Saya rasa satu diskusi secara inklusif perlu diadakan, dan saya rasa sudah sampai masanya untuk PAS mengambil serius beberapa pandangan tentang apakah perkara-perkara yang perlu dijadikan keutamaan dan menjadi satu kerangka yang jelas dan dasar-dasar umum yang boleh kita aplikasikan sekiranya kita diberikan kesempatan memerintah.

Jadi saya rasa ke arah itu PAS kena memulakan perbincangan-perbincangan intelektual ini dan semua pakar-pakar dari pelbagai bidang perlu dijemput supaya bajet yang bakal kita bentangkan mungkin atas nama Pakatan Rakyat besok akan lebih mengambil kira aspek-aspek dari segi fokus, keutamaan dan juga elemen-elemen syariah yang saya rasa boleh diaplikasikan di dalam ruang perlembagaan yang diizinkan.

Ini peluang terbaik untuk PAS menempatkan dirinya dalam mengemukan bajet untuk kepentingan rakyat Malaysia.

MO: Memang sepatutnya kita menyediakan bajet alternatif – tetapi bukan bermakna bajet alternatif itu mesti disediakan bersekali dengan bajet yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.

Akan tetapi, yang pentingnya ialah untuk kita memberikan satu keyakinan kepada rakyat bagaimana sumber pendapatan negara kita ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk tujuan bagi pembangunan negara dan kebajikan rakyat.

Kerajaan Pakatan Rakyat terutamanya PAS akan berusaha menambahkan sumber pendapatan iaitu kita berazam untuk mencari pendapatan baru yang gagal dilihat oleh kerajaan yang ada sekarang ini… dan kita mesti menghasilkan produk baru dan pasaran baru di dunia ini.

Ini tiga perkara yang sangat penting untuk memastikan bahawa kita dapat satu perolehan pendapatan yang lumayan tanpa membebankan masyarakat dan kita boleh manfaatkan pula kepada kehidupan rakyat dalam negara kita.

Walaupun tahun ini kita tidak buat bajet alternatif, tapi mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan dalam perbahasan kita di Parlimen ini – itupun sudah menggambarkan bagaimana keprihatinan kita terhadap soal pengurusan dan perbelanjaan negara kita ini.

Soalan 3:

Apakah hobi Naib Presiden sekalian, dan boleh tak berkongsi pengalaman dengan pembaca dalam memenuhi hobi masing-masing. Pengalaman ngeri ke, manis ke, pahit ke ke tak ada sebarang hobi?

TITM: Hobi tu macam-macam... tapi saya lebih berminat untuk masuk ke hutan berburu dan mencari kelah. Seronok apabila dapat masuk hutan berkhemah di tepi sungai yang jernih, nyaman dengan ketenangan hutan belantara. Biasanya sungai yang belum tercemar dihuni oleh pelbagai spesis ikan yang mahal seperti kelah, jelawat dan lain-lain.

Pengalaman menarik banyak, antara yang boleh dikongsi ialah pengalaman masuk ke Hutan Cerul pada hujung tahun 08...

Kebetulan, apabila masuk sahaja hutan jauh ke ulu sungai, perjalanan lebih kurang 3 jam setiba sahaja kongsi balak lama, hari dah petang dan hujan malam tu sangat lebat.

Kawasan laluan ditenggelami air dan ada jalan yang terputus dibawa arus. Kami terpaksa bermalam 4 malam di dalam hutan. Dengan hujan lebat sepanjang hari dan terpaksa menebang pokok untuk buat jambatan laluan pacuan 4 roda, dan lebih teruk pula makanan yg tidak banyak... kami terpaksa makan bubur saja.

Kenangan terperangkap di dalam hutan sehingga selama 4 malam menyebabkan ada di kalangan geng masuk hutan 'sukar untuk dapat permit' lepas tu... Kesian.

SA: Dari segi hobi, takat ini saya lebih banyak habiskan masa untuk membaca. Peluang terbaik saya lebih suka melancong domestik dengan keluarga jika ada kesempatan. Pengalaman ngeri setakat ini tidak ada lagi.

MO: Hobi saya sangat special – saya suka masak untuk keluarga. Tapi masalahnya sekarang, saya tiada masa untuk masak bagi keluarga. Tapi memang saya suka masak, dan anak-anak saya pun suka makan masakan saya. Saya rasa sungguh puas apabila anak-anak saya makan dengan penuh kesungguhan masakan saya itu. Itulah kegembiraan dan kepuasan saya.

Harakahdaily/-

No comments: