Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Minda Mumtaz.

Minda Mumtaz.
Formulasi Makanan Sunnah untuk Perkembangan Minda & Kecerdasan Badan

Thursday, November 4, 2010

Kekuatan Pengaruh Wakaf Dalam Pembinaan Tamadun Islam Yang Kukuh: Ust Zahazan


by Ustaz Zahazan Mohamed on Wednesday, November 3, 2010 at 4:21pm via FB

Wakaf adalah salah satu bentuk sedekah jariah yang sangat dituntut oleh agama Islam. Wakaf merupakan amal soleh yang pahalanya tidak akan putus-putus diberikan Allah SWT kepada pewakaf, selama mana harta yang diwakafkan itu masih wujud.Wakaf juga merupakan satu tradisi sosial yang diwariskan oleh Rasulullah SAW kepada umat Baginda, di mana tradisi tersebut dipegang kuat dan diamalkan oleh para sahabat r.anhum. dan para pengikut mereka.

Sistem wakaf telah memberikan manfaat yang tidak terhingga kepada banyak golongan, terutamanya golongan yang tidak bernasib baik. Ia juga telah melahirkan ramai pemikir Islam yang ulung, di samping mewujudkan berbagai institusi dalam peradaban Islam.Antara contoh-contoh sedekah jariah pada zaman Rasulullah SAW adalah:

1. Sayidina Umar bin al-Khattab r.a. telah mewakafkan sebidang tanah yang diperolehinya yang terletak di Khaibar. Melalui tunjuk ajar Nabi SAW, Umar r.a. mewakafkan tanah itu dan menyedekahkan hasilnya kepada golongan miskin, kaum kerabat, hamba sahaya, orang musafir yang putus bekalan, tetamu dan fi sabilillah.

2. Sayidina Uthman bin Affan r.a. telah membeli sebuah telaga yang dikenali sebagai Telaga Rumah (بِئْرُ رُوْمَةَ) yang terletak di Madinah. Kemudian beliau mewakafkannya untuk kegunaan orang ramai pada ketika itu.Sejak zaman Nabi SAW, sedekah jariah dan amalan wakaf terus berkembang dalam masyarakat umat Islam sepanjang zaman.

Contoh hikmah zakat yang jelas:

1. Di antara pusat pengajian Islam terulung hasil dari amalan wakaf termasuk Universiti Al-Azhar di Mesir, Al-Qarawiyyin dan Zaitouna.

2. Dari segi pentadbiran kerajaan pula, satu contoh perlaksanaan Wakaf Tunai bagi membantu kesejahteraan rakyatnya adalah pada zaman Empayar Uthmaniyah di Turki. Empayar Uthmaniyah mencapai kegemilangan dengan bantuan amalan wakaf tunai yang meluas ketika itu sehingga berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan serta menjadi pelengkap kepada usaha-usaha pembangunan dalam penyediaan kemudahan-kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan seumpamanya kepada masyarakat Turki.

3. Di dalam sektor perubatan, salah satu hospital yang dibina hasil dari amalan wakaf ialah Hospital Al Noorie di Damascus yang dibina pada tahun 1145AD. Ianya adalah hospital pertama yang meggunakan sistem rekod perubatan yang kemudiannya menjadi pusat pengajian perubatan. Ramai ahli perubatan terkenal menamatkan pengajian mereka di pusat perubatan ini termasuk Ibn Nafis, ahli perubatan terulung yang menemui teori system pernafasan di dalam paru-paru manusia. Hospital ini beroperasi sehingga 7 abad dan sebahagian daripada hospital ini masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Amalan Wakaf merangkumi segala aspek kehidupan termasuk pembinaan jalan dan jambatan, menyediakan sumber bekalan air bagi penduduk setempat, pemberian wang tunai bagi kerja-kerja penyelenggaraan harta wakaf, alat bertani, buku-buku, ilmu dan sebagainya yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat. Ramai individu daripada kalangan umat Islam telah mewakafkan tanah mereka untuk dijadikan masjid yang menjadi pusat ilmu serta pelbagai aktiviti ibadah dan sosial. Seterusnya wakaf dikembangkan lagi sehingga merangkumi bidang pembinaan pusat pengajian, kediaman, kesihatan dan berbagai infrastruktur lain sehingga hari ini.

Dikeluarkan oleh unit komunikasi IRM (http://www.irm.org.my/Upload/waqf_BM.pdf)

No comments: