Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Minda Mumtaz.

Minda Mumtaz.
Formulasi Makanan Sunnah untuk Perkembangan Minda & Kecerdasan Badan

Monday, February 22, 2010

Kelebihan Solat Subuh Di Masjid Dan Berjemaah

via email: jebat_spt@yahoogroups.com

Bismillah, walhamdulillah, wassolaatu wassalaamu ‘ala Rasulillah..


Syukur kepada Allah yang telah menganugerahkan Islam & Iman ke dalam hati kita… Pelbagai cara untuk kita menunjukkan rasa syukur kepada Allah, samada dizahirkan dengan perbuatan atau disembunyikan dan diucapkan dalam hati.

Antara nikmat terbesar yang Allah beri kepada kita adalah anggota badan serta pancaindera yang lain. Contoh terbaik dapat kita lihat pada diri Baginda saw seperti mana yang diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari, ketika mana Aisyah melihat Baginda sentiasa solat malam dan bengkak kakinya, Baginda berkata:

أفلا أكون عبدا شكورا

Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?

Penulis mahu berkongsi dengan pembaca sebahagian dari kelebihan solat subuh berjemaah. Tidak dinafikan solat subuh di masjid merupakan cabaran terbesar bagi seorang da’ie, kepada penulis dan pembaca. Namun tabiat & fitrah seorang hamba adalah sentiasa mendekatkan diri kepada Penciptanya dalam pelbagai cara.

Banyak nas yang dinyatakan oleh Rasulillah terhadap kelebihan solat subuh, lebih-lebih lagi secara berjemaah. Antara yang dapat dikongsi bersama adalah seperti berikut:

Hadis Pertama

عن جندب بن عبد الله يقول: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "من صلى الصبح فهو في ذمة الله "

Daripada Jundab Bin Abdillah berkata, Rasulullah saw telah bersabda: “Barangsiapa yang solat subuh maka dia berada dalam jaminan Allah”

(Riwayat Imam Muslim Dalam Kitab Sahihnya)

-- Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim meletakkan hadis ini dalam bab ‘kelebihan solat subuh dan isyak secara berjemaah. Beliau menulis dalam Syarah Sahih Muslim mengatakan jaminan di sini adalah berupa keamanan dan keselamatan.

Penulis: Walau dalam hadis ini tidak dinyatakan berjemaah, namun inilah pendapat ulama hadis. Mereka mengambil kira amalan yang paling sempurna, yang dilakukan pada zaman Nabi, yang paling berketepatan dan dikehendaki oleh Nabi saw, iaitu subuh secara berjemaah. Siapakah yang lebih layak untuk menjamin keamanan kita selain daripada Allah? Ganjaran ini diberi kerana solat subuh merupakan perkara yang amat berat, lebih-lebih lagi secara berjemaah. Ini memerlukan keikhlasan hati, semata-mata mengharapkan redha dan balasan Allah di pagi hari, dikala manusia lain nyenyak dilamun mimpi.

Hadis Kedua

عن بريدة، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: "بشر المشائين في الظلم الى المساجد بالنور التام يوم القيامة"

Daripada Buraidah, telah bersabda Rasulullah saw: “Khabarkan berita gembira kepada pejalan kaki dalam gelap gelita ke masjid dengan cahaya yang sempurna di hari kiamat”

(Hadis Sahih-Riwayat Abi Daud Dalam Kitab Sunannya)

-- Dalam Syarah Sunan Abi Daud oleh Al-‘Azim Abaadi, yang dimaksudkan dengan cahaya ini adalah cahaya dimuka orang mukmin di hari kiamat, bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Al-Hadid, ayat 12:

"نورهم يسعى بين أيديهم وبأيمانهم يقولون ربنا أتمم لنا نورنا"

“Cahaya mereka memancar di hadapan dan di kanan mereka, sambil mereka berkata: Ya Tuhan kami, sempurnakanlah cahaya kami untuk kami”

Hadis Ketiga

عن ابن عباس قال: كانت الأنصار بعيدة منزلهم من المسجد، فأرادوا أن يقتربوا، فنزلت: "ونكتب ما قدموا وآثارهم (يس:12)". فثبتوا.

Daripada Ibnu Abbas berkata: Kaum Ansar pada awalnya rumah mereka jauh dari masjid, lalu mereka berhajat untuk berpindah agar lebih dekat. Maka turunlah ayat: ‘Dan dicatat apa yang mereka kerjakan dan kesan-kesan amalan mereka itu’(Surah Yasiin: ayat 12). Lalu mereka tidak berpindah dan tetap di tempat lama.

(Hadis Sahih-Riwayat Ibnu Majah Dalam Kitab Sunannya)

-- Dalam Syarah Sunan Ibnu Majah oleh Al-Mughlatay, kesan-kesan tinggalan tapak kaki yang ditinggalkan oleh mereka yang pergi ke masjid juga dikira oleh Allah swt.

Perkara ini disokong oleh hadis seterusnya.

Hadis Keempat

عن أبي هريرة، قال النبي صلى الله عليه وسلم: "الأبعد فالأبعد من المسجد أعظم أجرا".

Daripada Abu Hurairah, telah bersabda Rasulullah saw: “Yang jauh dan lebih jauh dari masjid, lebih besarlah ganjarannya”

(Hadis Sahih-Riwayat Imam Ahmad Dalam Musnadnya)

Penulis: Kita boleh memberi contoh kepada situasi kita semua. Ada sahabat yang rumahnya jauh dari masjid, boleh jadi azan pun sayup-sayup / tidak kedengaran langsung. Namun masuknya waktu solat dapat dipastikan dengan TV atau taqwim solat. Betapa besarnya pahala yang dijanjikan Allah kepada mereka ini, sudahlah jauh dari masjid, tapaknya pula dikira pahala. Walau zaman sekarang sudah ada motor atau kereta, penulis berpendapat setiap putaran tayar juga dikira pahala, wallahu’alam. Ini kerana pada zaman Nabi, pengangkutan utama adalah berjalan kaki serta menaiki unta/kuda. Maka Nabi meletak asas pahala ini pada alat (kaki & seumpamanya) yang digunakan ke masjid berdasarkan hadis ini.

Ini juga disokong oleh hadis terakhir di bawah.

Hadis Kelima

عن ابن عمر، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: "إذا توضأ أحدكم فأحسن وضوءه ثم خرج الى الصلاة لا ينزعه الى المسجد إلا الصلاة، لم تزل رجله اليسرى الا تمحو سيئة، وتكتب الأخرى حسنة حتى يدخل المسجد"

Daripada Ibnu Umar, telah bersabda Rasulullah saw: “Barangsiapa yang berwudhuk, dan sempurnakan wudhuknya, kemudian keluar untuk bersolat, dan tidaklah niatnya keluar ke masjid melainkan untuk bersolat, maka belum sempat setiap tapak kaki kirinya mencecah ke tanah akan dihapuskan setiap dosa, dan belum sempat setiap kaki kanannya mencecah ke tanah akan ditulis satu kebaikan buat dirinya, sehinggalah dia memasuki masjid”

(Hadis Sahih-Riwayat Al-Hakim Dalam Mustadrak)

*** Ini sebahagian janji Allah bagi mereka yang memakmurkan rumahNya. Banyak lagi nas-nas daripada Rasulullah tentang kelebihan solat subuh, berjemaah, dan kelebihan memakmurkan rumah Allah. Bersama-samalah kita menggembleng tenaga, tanda syukur kepadaNya, berusaha memakmurkan Surau/Masjid, berjemaah serta merapatkan ukhuwwah yang telah terjalin.

*** Kadang-kadang sedih melihat masjid besar, tapi jemaah amat menyedihkan.

2 comments:

aizuddin said...

assalamualaikum ustaz .
sya nak share boleh??

littlehumblelynn said...

Mohon share.