|     Dalam laporan berita Utusan Malaysia bertarikh 13  Jan 2011, Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa  (ISIS) Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin berkata bahawa Program 100 Hari  Pakatan Rakyat akan hanya menghancurkan ekonomi negara kerana tidak  menyumbang sebarang kebaikan terhadap pertumbuhan ekonomi.[1]
  Kritikan  beliau berasaskan tiga perkara, iaitu: 1) Program tersebut semata-mata  bersifat agihan dan tiada usaha untuk mencambah ekonomi; 2) Subsidi  dberikan secara besar-besaran sehingga mengalami hutang yang besar  seperti Greek dan Itali; serta 3) Menyerahkan pengurusan ekonomi kepada  kerajaan dan menolak sektor swasta.
  Kajian Politik untuk  Perubahan (KPRU) telah membuat perbandingan terperinci dengan mendalami  Buku Jingga Pakatan Rakyat untuk meneliti kritikan-kritikan tersebut.  Secara kesimpulannya, KPRU berpendapat bahawa ketiga-tiga hujah yang  menjadi asas kritikan ISIS adalah songsang dan tidak berasas.
  Program 100 Hari Pakatan Rakyat bersifat agihan
  Berdasarkan  Buku Jingga yang bertajuk Agenda Pakatan: Ubah Sekarang, Selamatkan  Malaysia, Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam  semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan, dan sebagainya  berdasarkan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersama.[2]     Program 100 Hari Pakatan Rakyat hanya merupakan permulaan kepada  reformasi tersebut yang berasaskan Dasar Bersama. Dasar-dasar  pertumbuhan ekonomi yang lebih luas disebut dalam Dasar Bersama Pakatan  Rakyat yang menyentuh ekonomi berprestasi tinggi, berkemahiran tinggi,  ekonomi telus, desentralisasi dan pengupayaan pengurusan ekonomi negeri,  tenaga kerja dan lain-lain.[3]
  Maka Program 100 Hari  Pakatan Rakyat merupakan program konkrit yang bakal (atau mula)  dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas Pakatan Rakyat mendapat  mandat rakyat, dan sebab itu adalah kurang adil jika program 100 hari  didakwa bersifat agihan dan tidak mengutamakan perkembangan ekonomi.  Sebagai sebuah badan pemikiran bersejarah, ISIS seharusnya memahami  bahawa dasar pertumbuhan memerlukan pembaharuan dan transformasi  berbentuk struktur yang berjangka panjang, malah program 100 hari adalah  sekadar permulaan kepada agenda reformasi ekonomi politik Pakatan  Rakyat.
  Malaysia akan muflis jika melaksanakan Program Pakatan Rakyat
  Kedua,  ISIS juga menuduh bahawa dalam Program 100 Hari Pakatan Rakyat, subsidi  dberikan secara besar-besaran sehingga Malaysia mengalami hutang yang  besar seperti Greek dan Itali. Untuk membuat perbandingan, nisbah hutang  isi rumah dan hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  bagi Greek, Itali dan Malaysia telah diberikan seperti yang berikut:
 
  
  Definasi  bankrupsi bagi sesebuah kerajaan adalah apabila hutang kerajaan  tersebut telah melepasi KDNK (nisbah melebihi 100%) dan tidak mampu  menjelaskan hutang bon. Greek berada dalam risiko bankrupsi apabila  pemegang bon bimbang bahawa kerajaannya tidak dapat menjelaskan hutang  bon bernilai AS$23 bilion yang matang pada April dan Mei 2010.  Situasi Malaysia jauh berbeza berbanding dengan situasi Greek. Hutang  kerajaan Malaysia berada pada paras 53.7%, manakala hutang Greek dan  Itali mencecah 126.8% dan 116% masing-masing. Penambahan RM19.2 bilion  ataupun 3.68% daripada KDNK tersebut tidak akan mengakibatkan Malaysia  muflis.
  Lagipun, punca utama krisis hutang Greek adalah  disebabkan korupsi dan rasuah, yang mana juga diperakui oleh Perdana  Menterinya George Papandreou. Dalam Indeks Persepsi Rasuah, kedudukan  Greek adalah pada tangga ke-78, lebih teruk daripada Malaysia yang  menduduki tangga ke-56.[10]   Maka kita boleh menyatakan bahawa, walaupun tadbir urus dan  pengurusan kewangan kerajaan Malaysia adalah semakin teruk, tetapi  adalah kurang bertanggungjawab jika kita membuat kesimpulan secara  tergesa-gesa bahawa Malaysia akan muflis jika melaksanakan pakej  100-hari tersebut yang hanya akan membelanjakan RM19.2 bilion.  Lebih-lebih lagi, seperti apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen UMNO  Johor Bahru Datuk Seri Shahrir Abdul Samad, kerajaan BN masih gagal  menjelaskan ketirisan dan kebocoran berjumlah RM28 bilion yang berlaku  dalam perbelanjaan kerajaan.[11] Jika RM28 bilion ketirisan ini  dapat dijimatkan, kerajaan masih dapat menikmati lebihan sebanyak RM8.8  bilion selepas pelaksanaan Program 100 Hari Pakatan Rakyat,
  Menyerahkan pengurusan ekonomi kepada kerajaan dan menolak sektor swasta
  Menyentuh  kritikan ISIS terakhir bahawa Dasar Pakatan Rakyat menyerahkan  pengurusan ekonomi kepada kerajaan dan menolak sektor swasta, KPRU  berpendapat bahawa sebenarnya Dasar Bersama Pakatan Rakyat amat  mengutamakan daya saing negara, malah juga bertekad merancakkan  pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta  menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan agar menjadikan  ekonomi Malaysia berdaya maju.[12]   Apa yang ditolak dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat adalah  penswastaan yang membebankan rakyat, struktur subsidi yang menguntungkan  kroni dan korporat besar, sistem tender yang tidak adil, telus dan  terbuka, serta sistem cukai yang regresif. Maka Pakatan Rakyat bukan  menyerahkan segala pengurusan ekonomi kepada kerajaan tetapi sekadar  mengembalikan peranan kerajaan yang sebenar (reinstate the role of the  government) sementara merombak semula sistem sedia ada yang mengekang  pertumbuhan sektor swasta.
  KESIMPULAN  KPRU berpendapat bahawa ISIS harus mengkaji Dasar Bersama dan juga  Program 100 Hari Pakatan Rakyat secara menyeluruh terlebih dahulu  sebelum membawa hujah dan membentangkan kenyataannya. Adalah amat tidak  bertanggungjawab bagi sebuah badan pemikiran yang berwibawa membuat  dakwaan secara suka hati dan tidak berasaskan fakta dan analisa konteks  program tersebut.
 
  [1]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_09.htm
  [2] Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, 2011, m.s 17
  [3] http://www.keadilanrakyat.org/images/stories/webimg/docs/Dasar-PakatanRakyat.pdf
  [4] http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/9/8/business/6994480&sec=business
  [5] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/government-debt-in-2009-more-than-50pc-of-gdp-says-audit/
  [6] http://www.investmentandbusinessnews.co.uk/headline/portugal-ireland-debts-wages-house-prices/
  [7] http://www.bloomberg.com/news/2010-12-08/italy-budget-adds-political-risk-to-debt-woes-for-berlusconi-euro-credit.html
  [8]http://www.google.com/publicdata?ds=jnhjj7mtl7cmt_&met=gd_pc_gdp&idim=eu_country:IT&dl=en&hl=en&q=italy+government+debt
  [9] Kenyataan Akhbar DSAI, ”Pakatan Hanya Perlukan RM19 bilion untuk Rakyat”, 11 Jan 2011
  [10] http://www.transparency.org/policy_research/surveys_indices/cpi/2010/results
  [11] http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/polisi-awam/129-kerajaan-gagal-jelaskan-ketirisan-rm28-bilion
  [12] Dasar Bersama Pakatan Rakyat, 2009, m.s 9
  **Disediakan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)  | 
No comments:
Post a Comment