Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Minda Mumtaz.

Minda Mumtaz.
Formulasi Makanan Sunnah untuk Perkembangan Minda & Kecerdasan Badan

Friday, November 19, 2010

Hayati pengorbanan Siti Hajar laksana amanah Allah

Oleh Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS


Seringkali kita dipaparkan dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya Nabi Ismail a.s. apabila menjelang kedatangan Eidul Adha. Peristiwa yang menggambarkan keimanan yang kental dan keyakinan yang jitu, ketaatan dan pengorbanaan diantara seorang ayah dan anak lelakinya terhadap perintah Allah s.w.t merupakan suatu kisah teladan yang unggul bagi panduan kita mengharungi kehidupan di dunia ini.

Sayangnya kita jarang sekali mendengar ataupun terlalu sedikit saja para penceramah yang telah menyentuh dengan huraian yang mendalam peranan dan pengorbanan Siti Hajar sebagai seorang isteri dan ibu dalam peristiwa tersebut.

Seharusnya kita hayati bagaimana ketabahan dan ketaatan seorang isteri bersama anak yang masih kecil ditinggalkan oleh suaminya di suatu lembah padang pasir yang kering kontang tanpa penduduk semata-mata untuk menyempurnakan perintah Allah s.w.t.

Sesungguhnya jika kita mengambil iktibar dari peristiwa tersebut di dalam konteks kegiatan dakwah haraki, peranan dan tanggungjawab Muslimat adalah amat besar serta tidaklah mudah tanpa pergantungan kepada pertolongan dari Allah s.w.t. Peranan, sikap dan tindakan yang telah ditunjukkan oleh Siti Hajar itu sudah cukup untuk kita teladani. Tanpa keimanan yang penuh ikhlas, keyakinan yang jitu, kesetiaan kepada suami, dapat diragui bahawa Siti Hajar berjaya mengharungi segala cabaran yang terbentang di depan matanya.

Sebenarnya dari teladan yang ditunjukkan oleh Siti Hajar itu peranan besar Muslimat adalah sebagai pembantu dan pelengkap terhadap amanah dan tanggungjawab perjuangan Islam bukannya pesaing.

Firman Allah s.w.t , pada surah at-Taubah, ayat 71 yang bermaksud:“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Jelaslah juga dari pengertian ayat tersebut bahawa Allah s.w.t mengiktiraf peranan besar yang mesti dilaksanakan oleh Muslimat walaupun bentuk tugas dan skop yang berlainan. Bagi Muslimat PAS, kita yakini bahawa segala perancangan dan usaha-usaha yang telah dan akan kita laksanakan adalah selari dengan semangat ini. Natijahnya adalah bahawa tiada siapa yang boleh meragui kesetiaan dan sumbangan besar Muslimat terhadap perjuangan PAS dalam mengharungi segala cabaran yang mendatang.

Justeru itu, dalam kita perlu sedari juga bahawa di dalam usaha-usaha kita meneruskan perjuangan ini kita sentiasa memerlukan pertolongan dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t, pada surah Muhammad, ayat 7 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Pada pandangan jumhur ulama bahawa tindakan kita bergerak dalam jamaah Islam, isitiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita adalah satu manifestasi “menolong agama Allah”. Jika kita dapat menghayati dan berjaya melaksanakan tututan jamaah dengan ikhlas, maka layaklah kita mendapat pertolongan dari Allah s.w.t.

Oleh itu dalam era Pakatan Rakyat kini di mana PAS adalah komponen sebuah parti pemerintah di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, peranan Muslimat adalah berlainan daripada masa-masa lampau. Kita perlu pastikan bahawa peranan kita didalam melaksanakan tugas selaku Ahli Parlimen, anggota Exco, Adun atau Ahli Majlis kerajaan tempatan serta JKK selaras dengan matlamat parti kita dan tuntas dengan permuafakatan dalam tuntutan Pakatan Rakyat.

Peranan PAS adalah penting dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Tetapi perlu diingat bahawa didalam kegairahan kita melaksanakan tugas-tugas kepada rakyat semua aktiviti dan tuntutan jamaah kita juga perlu berjalan seiring dan tidak dikesampingkan. Parti kita mesti diperkukuhkan agar ianya dapat berperanan dengan efektif pada permuafakatan kerajaan Pakatan Rakyat. Parti yang lemah akan mengakibatkan kerajaan jadi kucar kacir. Tiada kerajaan tanpa parti.

Akhir kata pada kesempatan ini saya bagi pihak Dewan Muslimat PAS Pusat ingin mengucapkan selamat menyambut Eidul Adha dan hayatilah pengorbanan serta ketabahan Siti Hajar dalam semua aspek kehidupan kita, kepada seluruh kepimpinan Dewan Muslimat di pelbagai peringkat, pendokong dan penyokong PAS di seluruh Malaysia.


Thousand Thanks: biaqpila.blogspot.com

No comments: