Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Minda Mumtaz.

Minda Mumtaz.
Formulasi Makanan Sunnah untuk Perkembangan Minda & Kecerdasan Badan

Wednesday, February 10, 2010

Isu DS Anwar Ibrahim - Jawapan Dato' Dr Haron Din

Dato' Dr Haron Din

Fri | Jul 25, 08 | 11:42:08 am MYT

SOALAN: Politik Malaysia hari ini sudah sampai ke kemuncak kalut atau kelam kabut. Selepas satu isu, beralih kepada isu lain yang kebanyakannya membebankan fikiran rakyat jelata. Terbaru rakyat dikejutkan dengan isu rasuah berprofil tinggi, dakwaan Dato' Seri Anwar Ibrahim terbabit dalam kes liwat lagi dan pelbagai isu lain. Sebagai seorang Muslim saya amat keliru, soal dosa pahala tidak diperdulikan lagi, media dengan bebas mengasak dengan bangga mengaibkan hamba-hamba Allah yang tidak dipastikan kebenarannya, mengapa hal sebegini Dato'? - HASBULLAH MARZUKI, Bandar Baru Bangi

JAWAPAN:

Memang benar kata anda itu, bahawa keadaan politik di Malaysia amat-amat kalut dan berserabut. Jika rakyat yang mengikutinya akan pening kepala, sudah tentu mereka yang terbabit dalam politik lebih merasai keserabutannya. Terlalu banyak isu yang menyentuh negara, melibatkan kredibiliti pemerintah, sekali gus meletakkan rakyat keseluruhannya dalam keadaan kebingungan dan huru hara penghidupan.

Perihal ketidak puas hati rakyat terhadap kerajaan semakin jelas apabila kenaikan harga barang-barang keperluan seharian amat menekan, diikuti dengan indeks rasuah yang semakin melonjak, kes-kes rasuah berprofil tinggi terbongkar satu demi satu dan diikuti dengan fitnah yang tidak habis-habis.

Tuduhan liwat serta fitnah yang melampau ini kadang-kadang dilihat sebagai suatu sandiwara. Mengapa semuanya ini berlaku? Jawabnya mudah, ia adalah kerana manusia tidak takut dosa, tidak gerun dengan ancaman Allah SWT, tidak peduli apa yang hendak terjadi pada hari pembalasan.

Manusia kini seolah-olah tidak memperdulikan soal neraka dan syurga. Asalkan hati mereka mendapat kepuasan di dunia, mereka sanggup melakukan apa sahaja.

Soal maruah, soal mengaibkan manusia dan apa sahaja yang seumpama dengannya tidak pernah menjadi perhitungan. Inilah sebabnya hal-hal yang saya nyatakan di atas boleh berlaku.

Malah berbagai-bagai konspirasi boleh dilakukan tanpa segan silu kerana manusia telah dikuasai oleh tuntutan keduniaan yang melampau dan gila kuasa yang tidak terbatas.

Merujuk kepada fitnah liwat yang saudara bangkitkan dalam persoalan, pada saya, jika hukum-hukum Islam berjalan atau berfungsi, saya tidak fikir orang berani melontar fitnah sebegitu. Ini kerana sekadar mendakwa seseorang itu melakukan liwat tanpa cukup bukti yang nyata dan kukuh, hukuman sebaliknya akan dijatuhkan ke atas si penuduh. Orang yang membuat tuduhan tanpa cukup saksi, akan dijatuhkan hukuman qazaf mengikut suatu pendapat fuqaha. Qazaf adalah menuduh zina, tanpa membawa empat orang saksi yang adil, yang benar-benar melihat perbuatan tersebut. Jika penuduh gagal membuktikannya, maka si penuduh akan dikenakan hukuman, seperti firman Allah (mafhumnya):

"Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik pekertinya melakukan zina tanpa membawa empat orang saksi, maka hendaklah disebat mereka dengan 80 kali sebatan (selepas itu); janganlah kamu menerima persaksian mereka buat selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik." (Surah an-Nur, ayat 4)

Ayat ini tidak merujuk kepada wanita sahaja, tetapi kepada sesiapa sahaja yang menuduh zina tanpa cukup bukti, maka akan dikenakan hukuman qazaf. Timbul persoalan, bolehkah qazaf ini digunakan juga kepada sesiapa yang menuduh orang lain melakukan liwat? Atau didakwa dia diliwat, apakah termasuk dalam konteks ini?

Dalam mazhab as-Syafie, dengan merujuk kepada Kitab al-Muhazzab, juzuk dua, halaman 237, ada dinyatakan, maksudnya; "Sekiranya seseorang berkata (menuduh) kepada seorang lain, 'kamu adalah peliwat atau si fulan meliwat saya atau mengaku dirinya diliwat' (tanpa paksaan), maka itu adalah kazaf, sama dengan kazaf zina, wajib dikenakan hukuman qazaf." Ini bererti bahawa yang menuduh liwat, sama dengan menuduh zina, wajib diproses mengikut hukuman yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Apabila hukum Islam tidak berfungsi dan diketepikan maka berleluasalah tuduhan-tuduhan yang seperti itu, kerana tidak ada sesuatu yang menjadi penghalang atau merasa gerun untuk melakukannya. Alangkah rugi dan kecohnya masyarakat apabila tuduhan-tuduhan liar sebegini,
masih menjadi mainan orang-orang tertentu menuduh orang-orang lain dengan pelbagai tuduhan.
Ingatlah, meskipun hukuman-hukuman had seperti yang disebutkan di atas, tidak dapat dilaksanakan buat seketika ini, akan tetapi insafilah bahawa hukuman Allah di akhirat nanti, pasti menunggu semua yang terlibat.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang mahsyur (mafhumnya): "Sesungguhnya hukuman dunia adalah lebih ringan daripada hukuman di akhirat."

Ini membawa maksud, bahawa segala kesalahan yang ada peruntukkannya dalam al-Quran atau as-Sunnah, jika dilaksanakan di dunia seperti kehendak Allah, maka ianya adalah paling ringan bagi orang yang terlibat menerimanya. Jika mereka terlepas daripada menerimanya di dunia, maka di akhirat nanti mereka akan menerima hukuman yang lebih berat daripada Allah SWT.

Wallahua'lam - lanh

No comments: