SEMBAHYANG TARAWIH
Sembahyang Tarawih ialah sembahyang sunat yang dikhususkan penunaiannya pada bulan Ramadhan sahaja. Para ulama terdahulu membaca al-Quran dari awal hingga akhir di dalam sembahyang Tarawih. Setiap malam dibacanya sekadar yang termampu sampai mereka khatamkan al-Quran itu pada malam terakhir Ramadhan.
Sesiapa yang tidak berpeluang untuk mengikuti jejak langkah para ulama salaf itu, janganlah pula sampai terlalu meringan-ringankan ibadat ini kerana ganjaran dan faedahnya sangat besar. Ibadat ini kerana ganjaran dan faedahnya sangat besar. Ibadat ini hendaklah dilakukan dengan sempurna, sama seperti sembahyang-sembahyang yang lain di mana mesti ditunaikan dengan baik berdirinya, bacaannya, rukuk dan sujudnya, khusyu’ dan tawaduknya dan juga terhadap semua rukun-rukun yang lain serta tertib-tertibnya.
IKTIKAF
Iktikaf ialah ibadat sunat yang dituntut oleh Islam. Iktikaf ialah berdiam atau berhenti di dalam masjid. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan sangat digalakkan diamalkan pada bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh malam terakhir.
Iktikaf mempunyai empat rukun
1. Niat. Kalau iktikaf yang dinazarkan wajib berniat fardhu supaya berbeza dengan yang sunat.
2. Hendaklah dilakukan di dalam masjid. Tidak sah iktikaf di tempat lain selain dari masjid sekalipun tempat itu dijadikan tempat sembahyang jamaah seperti balai, madrasah atau surau.
3. Kadar diam atau berhenti ialah melebihi kadar tama’ninah.
4. Orang yang mengerjakan iktikaf itu mestilah Islam, berakal dan suci daripada hadas.
Perkara-perkara yang boleh memutuskan iktikaf ialah murtad, iaitu keluar dari Islam, mabuk atau hilang akal dan keluar haid atau nifas. Iktikaf menjadi batal apabila seseorang itu bersetubuh atau keluar dari masjid.
KEUTAMAAN SEPULUH HARI TERAKHIR DAN LAILATUL QADAR
Nabi Muhammad s.s.w. menggandakan amal dalam bulan Ramadhan lebih daripada bulan-bulan lain. Dalam bulan Ramadhan pula baginda lebih rajin beramal dalam masa sepuluh hari terakhir daripada keseluruhan bulan itu. Nyatalah tempoh tersebut mempunyai keutamaan dan fadhilatnya.
Para ulama berkata kemungkinan Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir Ramadhan. Nabi Muhammad s.a.w. telah menganjurkan umat Islam supaya mencari malam Qadar tersebut, kerana orang yang beramal pada malam itu sangat besar ganjarannya dan diumpamakan sebagai lebih utama daripada seribu bulan, tidak kira sama ada ia mengetahui malam Qadar itu ataupun tidak.
Oleh itu setiap mukmin mestilah menyediakan dirinya untuk mencari malam tersebut bermula dari awal bulan lagi. Tidak bermakna hanya mencari-cari satu malam itu sahaja baru mahu beramal. Umat Islam sewajarnya memperbanyakkan amalan pada tiap-tiap malam pada bulan Ramadhan ganjarannya berlipat ganda jika dibandingkan dengan amalan pada bulan-bulan lain. Selain daripada itu amalan yang dilakukan setiap malam itu sudah pasti akan menemui satu malam yang dicari-cari itu.
Para ulama mempunyai pendapat masing-masing mengenai malam Qadar ini. Mengikut Imam Ghazali, malam ini boleh dikenali seperti berikut :
1. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau hari Rabu, maka Lailatul Qadarnya pada malam 29hb. Ramadhan.
2. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Isnin, maka Lailatul Qadarnya pada malam 21hb. Ramadhan.
3. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatul Qadarnya pada malam 27hb. Ramadhan.
4. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Khamis, maka Lailatul Qadarnya pada malam 25hb. Ramadhan.
5. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, maka Lailatul Qadarnya pada malam 23hb. Ramadhan.
Selain daripada tanda-tanda itu, Lailatul Qadar juga boleh dikenali dengan tanda-tanda lain seperti malam itu langitnya kelihatan suci bersih, bulannya bercahaya segar, terang benderang, udaranya nyaman, tidak sejuk tidak panas, manakala matahari diwaktu pagi memancarkan cahaya yang seimbang seperti cahaya bulan purnama. Sungguhpun panduan dan gambaran telah diberikan oleh para ulama, namun tarikh atau bila berlakunya Lailatul Qadar itu adalah sukar dipastikan. Inilah rahsianya supaya umat Islam bersungguh-sungguh beramal ikhlas kerana Allah s.w.t. mudah-mudahan akan memperolehi faedah malam yang berharga itu.
FIRMAN ALLAH
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu, Aku tidak sekali-kali mengkehendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi Aku makan, sesungguhnya Allah, Dialah yang maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh” (Adz-Dzaariyaat : 56-58)
“Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dengan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya” (Asy-Syams : 7 – 10)
“Tiap-tiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya” (Al-Muddatstsir : 38)
“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya tiada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia” (AL-Mukminun : 115-116)
“Barang siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan” (An-Nuur : 52)
Sabda Rasulullah s.a.w.
“Berfikirlah tentang kejadian ciptaan Allah dan jangan kamu berfikir tentang zat Allah kerana kamu tidak dapat mentakdirkan (menentukan zat) Allah sebenarnya”
No comments:
Post a Comment