Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Minda Mumtaz.

Minda Mumtaz.
Formulasi Makanan Sunnah untuk Perkembangan Minda & Kecerdasan Badan

Tuesday, July 26, 2011

Marhaban Ya Ramadhan. Panduan Asas Bah 2

RUKUN PUASA

Rukun puasa ada dua perkara, iaitu: Berniat puasa, Niat puasa hendaklah dilakukan pada tiap-tiap malam sebelum hari puasa. Walaupun begitu ia boleh juga dilakukan pada malam sebelum hari pertama puasa. Contoh lafaznya ialah “ aku berniat berpuasa esok hari dan hari-hari seterusnya sepanjang bulan Ramadhan, wajib atasku kerana Allah Taala”. Tetapi jika ia tertinggal puasa, ia hendaklah berniat semula selepas hari yang ditinggalkan itu. Bagaimanapun sebaik-baik niat puasa ialah dilakukan pada tiap-tiap malam semasa memulakan makan sahur.

Menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa mulai dari waktu terbit fajar (masuk waktu subuh) sehingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib).

SYARAT WAJIB PUASA

1. Beragama Islam

2. Baligh atau sampai umur

3. Berakal sempurna

4. Berkuasa mengerjakannya

SYARAT SAH PUASA

1. Islam, Orang-orang bukan Islam tidak sah puasanya.

2. Mumaiyiz, yakni mengerti perbezaan yang baik dengan yang buruk atau yang bersih dengan yang kotor.

3. Suci daripada haid dan nifas bagi perempuan. Orang yang berhaid dan yang sedang berdarah nifas tidak sah puasa, tetapi wajib mengadakan puasa yang tertinggal itu.

4. Puasa pada hari-hari yang dibenarkan sahaja. Tidak sah puasa pada dua hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya haji serta hari-hari tasyrik iaitu dari 11 hingga 13 haribulan Zulhijjah

PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

1. Niat membatalkan puasa. Berniat untuk berbuka atau membatalkan puasa dengan sengaja dan bersungguh-sungguh boleh membatalkan puasa sekalipun ia tidak makan atau minum atau tidak melakukan sesuatu yang boleh membatalkan puasa.

2. Makan atau minum dengan sengaja. Orang yang makan, minum atau merokok dengan sedar dan sengaja batal puasanya. Sekiranya perbuatan itu dilakukan dengan tidak sengaja atau terlupa, tidak batal puasanya dengan syarat ia segera meluahkan makanan atau minuman itu apabila ia sedar bahawa ia sedang berpuasa.

3. Muntah dengan sengaja. Muntah dengan sengaja bererti muntah yang berlaku kerana perbuatan sendiri, bukan kerana keadaan seperti mabuk dan sebagainya. Jika termuntah tanpa sengaja tidaklah membatalkan puasa.

4. Bersetubuh. Orang yang melakukan persetubuhan dengan sengaja dalam masa puasa, selain terbatal puasanya, ia diwajibkan membayar kifarat (denda). Kifaratnya ialah memerdekakan seorang hamba. Jika ia tidak berupaya, ia hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Sekiranya ia tidak berupaya juga, ia hendaklah memberi makan kepada enam puluh orang miskin atas kadar sekali seorang dengan nilai yang sepatutnya. Seseorang yang serta merta menghentikan persetubuhannya sebaik sahaja terbit fajar (masuk waktu subuh), sah puasanya. Tetapi keadaan ini hendaklah dijauhi bagi mengelakan terbatalnya puasa dan terkena kifarat.

5. Keluar mani dengan sengaja. Mengeluarkan mani dengan sengaja seperti dengan tangan, menonton gambar lucah atau lain-lain yang boleh mengeluarkan mani adalah membatalkan puasa. Walaubagaimanapun, jika mani terkeluar disebabkan bermimpi atau berkhayal tidaklah membatalkan puasa.

6. Keluar darah haid atau nifas. Sekiranya seseorang perempuan datang haid atau bersalin dan keluar darah nifasnya ketika ia sedang berpuasa maka batallah puasanya.

7. Gila. Jika kegilaan itu datang pada siang hari, batallah puasanya.

8. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan. Memasukkan sesuatu benda secara sengaja ke dalam rongga badan seperti hidung, dubur dan telinga adalah membatalkan puasa.

ORANG YANG DIHARUSKAN BERBUKA PUASA

1 Orang Sakit. Seseorang yang tidak berupaya untuk meneruskan puasa kerana sakit atau sekiranya ia berpuasa juga akan menambahkan kesakitannya atau melambatkan sembuh penyakitnya. Ia dibolehkan berbuka dan wajib menggantikannya (qada).

2 Orang yang sedang dalam perjalanan jauh. Orang yang sedang musafir atau dalam perjalanan jauh iaitu tidak kurang daripada dua marhalah kira-kira 80.640 kilometer atau 50.086 batu harus berbuka puasa. Puasa yang ditinggalkan itu wajib diqada.

3 Orang yang uzur. Orang-Orang tua yang sudah lemah, orang-orang yang lemah kerana penyakit yang tidak ada harapan untuk sembuh atau kerana semulajadinya lemah diharuskan berbuka atau tidak berpuasa langsung. Tiap-tiap hari yang ditinggalkan itu wajib dibayar fidyah, iaitu satu cupak atau ¾ liter makanan yang boleh mengenyangkan bagi sesebuah negeri berkenaan. Orang-orang ini tidak diwajibkan mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu.

4 Orang hamil. Orang yang sedang hamil dan bimbang kalau ia berpuasa akan membahayakan dirinya, ia diharuskan berbuka, tetapi wajib diqadakan puasa yang ditinggalkan itu. Sekiranya ia bimbang akan membahayakan kandungannya seperti takut terjadi keguguran, ia harus berbuka tetapi wajib mengqadakannya serta membayar fidyah dengan secupak beras atau makanan yang mengenyangkan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan itu.

5 Ibu yang menyusukan anak. Orang yang menyusukan anak juga harus berbuka puasa dan mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu kalau ia bimbang dengan berpuasa akan menyebabkan mudarat kepada dirinya. Kalau ia bimbang memberi mudarat kepada bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu, maka ia diwajibkan mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu serta membayar fidyah secupak makanan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya.

6 Wanita yang haid atau nifas. Wanita yang didatangi haid atau nifas wajib berbuka puasa kerana puasanya batal. Ia wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu.

7 Orang yang pitam sepanjang hari. Orang yang pitam sepanjang hari harus berbuka puasa kerana puasanya batal. Ia wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu.

8 Orang gila. Orang gila juga harus berbuka puasa kerana puasanya batal. Ia juga wajib mengqadakan puasa yang tertinggal itu.

No comments: