Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Minda Mumtaz.

Minda Mumtaz.
Formulasi Makanan Sunnah untuk Perkembangan Minda & Kecerdasan Badan

Tuesday, July 26, 2011

Marhaban Ya Ramadhan. Panduan Asas Bah 5

DENDA-DENDA BAGI ORANG YANG TIDAK PUASA

Terdapat empat jenis denda yang dikenakan kepada orang-orang yang tidak berpuasa Ramadhan.

1. Kifarat berserta qada

2. Fidyah berserta qada

3. Fidyah

4. Qada

Kifarah Berserta Qada

Denda ini dikenakan kepada orang lelaki yang membatalkan puasanya melalui persetubuhan. Persetubuhan yang dimaksudkan ialah dengan memasukkan kemaluannya melepasi had tertentu (hasyafah) ke dalam faraj (qubul atau dubur) sama ada manusia atau haiwan, yang masih hidup atau telah mati, lelaki atau perempuan sekalipun tidak keluar mani. Walaubagaimanapun, persetubuhan orang-orang yang berpuasa seperti berikut hanya diwajibkan qada tanpa kifarat, iaitu :

1 Orang yang bersetubuh dengan memasukkan kemaluan ke dalam faraj sekadar belum sampai had yang ditentukan.

2 Orang yang disetubuhi.

3 Orang yang bersetubuh dalam keadaan lupa atau tidak sedar.

4 Orang yang tidak tahu batalnya puasa dengan kelakuan tersebut.

5 Kanak-kanak yang belum baligh.

6 Orang-orang yang berpuasa tanpa niat.

7 Orang-orang dalam musafir.

8 Orang sakit, dengan harapan persetubuhan itu akan menyembuhkan sakitnya.

9 Orang yang yakin ketika persetubuhannya itu masih malam hari, atau yakin masuk waktu malam sedangkan sebenarnya masih siang.

10 Orang yang berpuasa selain dari puasa Ramadhan seperti puasa nazar, puasa kifarat dan puasa qada sekalipun qada bagi puasa Ramadhan.

Kifarah puasa ada tiga peringkat. Pertamanya ialah memerdekakan seorang hamba yang beragama Islam, sempurna sifat dan tubuh badannya. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Sekiranya terputus walaupun sehari, hendaklah diulangi puasanya semula. Jika tidak berupaya juga, hendaklah memberi makan fakir miskin seramai 60 orang dengan kadar secupak seorang. Kifarat puasa wajib ditunaikan, tetapi kewajipan tersebut terhapus sekiranya seseorang itu gila atau mati.

Fidyah Berserta Qada

Denda ini dikenakan kepada tiga golongan, iaitu orang yang melengah-lengaahkan qada puasa wajib tanpa apa-apa keuzuran sehingga masuk bulan Ramadhan pada tahun berikutnya dan orang-orang perempuan hamil atau sedang menyusukan anak yang bimbang tentang keselamatan bayi atau anaknya sekiranya ia berpuasa. Kadar fidyah ialah secupak makanan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Di samping fidyah itu, puasa yang ditinggalkan itu wajib diqada.

Fidyah

Fidyah dikenakan kepada orang yang meninggalkan puasa-puasa wajib seperti puasa Ramadhan (seperti yang telah diterangkan) atau puasa nazar, puasa kifarat orang yang mati tanpa sebarang sakit atau uzur sebelum sempat mengqadakannya. Bagi orang yang telah mati itu menjadi kewajipan kepada keluarganya terutama walinya untuk membayar fidyah bagi simati sebanyak satu cupak makanan bagi tiap-tiap satu hari puasa yang ditinggalkan.

Qada

Qada ialah mengulangi berpuasa kerana menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalkan oleh sebab-sebab tertentu. Puasa qada boleh ditunaikan oleh orang lain dengan syarat orang yang berkenaan telah meninggal dunia dan tidak sempat mengqadakan puasanya sedang dia berkemungkinan mengqadakannya. Oleh yang demikian hendaklah diqadakan oleh keluarganya.

HIKMAH PUASA

1. Melahirkan kesyukuran terhadap Allah. Semua ibadat yang difardhukan mempunyai erti terima kasih kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. telah melimpahkan berbagai nikmat yang tidak terbatas banyaknya kepada manusia. Sebagai tanda terima kasih itulah maka manusia, khususnya yang beragama Islam sewajibnya melaksanakan kefardhuan-kefardhuan yang telah ditentukan.

2. Puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi penyabar, tabah menanggung kesusahan dan penderitaan. Di dalam kehidupan manusia didunia ini, kesusahan dan penderitaan adalah perkara lumrah yang lazimnya ditempuhi oleh setiap orang. Orang-orang yang memiliki sifat sabar akan mudah menguruskan soal-soal kehidupannya dengan matang dan teratur. Selain mendapat faedah untuk diri sendiri, orang-orang yang memiliki sifat sabar akan dikasihi Allah.

3. Puasa juga dapat melatih seseorang itu mengawal nafsu buas dan ammarah yang suka melakukan kejahatan. Melalui puasa seseorang itu dapat membentuk personalitinya menjadi seorang yang baik dan dihormati.


4. Puasa dapat menghindar seseorang itu daripada bersikap tamak, gelojoh dan mementingkan diri sendiri. Sifat-sifat tersebut amat dikeji dan membawa kepada kerugian dan keburukan.

5. Puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi seorang yang amanah di dalam amal kehidupannya sehari-hari. Ini berlaku kerana seseorang yang berpuasa akan patuh kepada peraturan-peraturan puasa yang telah ditetapkan seperti menahan makan, minum dan lain-lain. Ia tidak akan melakukan semua itu sama ada di hadapan orang atau secara sembunyi. Latihan sebegini sudah tentu membentuknya menjadi seorang yang amanah.

6. Puasa dapat menanam rasa belas kesihan terhadap seseorang yang dalam kesusahan atau kemiskinan. Seseorang yang telah merasa sakit dan pedih kerana berlapar, akan dapat mengukur kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh orang-orang fakir dan miskin. Oleh itu orang-orang fakir dan miskin, yang hidup melarat akan sentiasa ditolong bantu oleh orang yang berada. Kesedaran dan keadaan ini akan melahirkan keadilan dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.

7. Puasa memberi kesan yang baik kepada kesihatan tubuh badan. Ahli-ahli perubatan pada keseluruhannya telah mengakui bahawa puasa memberi kesan yang baik terhadap sesetengah penyakit. Para doktor juga berpendapat bahawa setiap manusia perlu sekali sekala berpuasa sekalipun ia tidak berpenyakit.

8. Puasa dapat mengujudkan perpaduan di kalangan umat. Apabila tibanya bulan Ramadhan, setiap umat Islam menyedari bahawa semua umat Islam di dunia ini akan berpuasa. Umat Islam diseluruh pelusuk dunia ini mengamalkan ibadat yang serupa sepertinya juga. Keadaan in sudah tentu mencetuskan dihati sanubarinya dengan rasa kesatuan dan kesamaan. Dengan ini terjalinlah rasa muhibah, kasih sayang, persaudaraan dan ingin tolong menolong antara satu dengan lain.

9. Sebagai kemuncaknya, puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi muslim mukmin yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Kemuncak ini akan dapat dicapai apabila seseorang itu benar-benar tekun dan ikhlas menjalani ibadat puasa ini tanpa ada tujuan yang lain selain semata-mata kerana Allah s.w.t.

No comments: