- Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Kaum Quraisy di zaman jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Rasulullah s.a.w juga berpuasa pada hari itu. Setelah berhijrah ke Madinah, baginda tetap berpuasa dan memerintahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari itu. Setelah difardukan puasa bulan Ramadan, baginda bersabda: Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari itu berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan meninggalnya.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 1897
- Hadis Abdullah bin Umar r.a:
Orang-orang jahiliah berpuasa pada hari Asyura. Rasulullah s.a.w dan orang-orang Islam sebelum diwajibkan berpuasa bulan Ramadan juga berpuasa pada hari tersebut. Setelah puasa Ramadan diwajibkan, Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Asyura itu adalah hari-hari Allah. Sesiapa yang ingin berpuasa, berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan berbuka.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 1901
- Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a:
Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Yazid r.a katanya: Al-Asy'as bin Qais datang menemui Abdullah ketika beliau sedang makan. Abdullah berkata: Wahai Abu Muhammad marilah kita makan bersama. Dia menjawab: Bukankah hari ini adalah hari Asyura? Beliau kemudian bertanya: Kamu tahu apakah hari Asyura itu? Dia menjawab: Apakah ia? Beliau menjelaskan: Ianya merupakan hari di mana Rasulullah s.a.w berpuasa sebelum puasa bulan Ramadan diwajibkan. Setelah puasa bulan Ramadan diwajibkan, ia ditinggalkan.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 1905
- Hadis Muawiah bin Abu Sufian r.a:
Diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman katanya: Dia pernah mendengar Muawiah bin Abu Sufian r.a menyampaikan khutbah di Madinah pada hari Asyura ketika beliau berkunjung ke kota tersebut, katanya: Di manakah ulama-ulama kamu wahai sekalian penduduk Madinah? Ketahuilah aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda mengenai hari ini, iaitu hari Asyura: Pada hari Asyura ini Allah tidak mewajibkan berpuasa kepada kamu. Tetapi aku sendiri berpuasa pada hari ini. Sesiapa di antara kamu yang ingin berpuasa, berpuasalah dan sesiapa ingin berbuka, berbukalah.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 1909
- Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa mereka itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami pada-Nya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu dan Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 1910
- Hadis Abu Musa r.a katanya:
Hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi dan menjadikannya sebagai Hari Raya. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah kamu pada hari Asyura tersebut.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 1912 - Hadis Ibnu Abbas r.a:
Ibnu Abbas r.a pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sehari pada hari Asyura kerana mencari kelebihan iaitu fadilat yang tidak ada pada hari-hari yang lain selain dari hari ini. Aku juga tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan ini, iaitu bulan Ramadan.
Nombor Hadith Dalam Sahih Muslim : 1914
Tuesday, December 14, 2010
Himpunan hadith bab berpuasa pada hari asyura
Sumber: Sohih Muslim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment