Oleh Roslan SMS
Apakah PAS sudah melenturkan perjuangannya untuk menegakkan Islam sebagai Addeen? Fasal 5(1) perlembagaan PAS yang diwarisi sejak dari penubuhan parti berkenaan lebih 50 tahun lalu dengan jelas menyebut:
“Memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah”.
Ironisnya Umno yang pernah menganggap dirinya sebagai parti Islam terbesar dalam Negara tidak pula rasa bersalah apabila segala prinsip dan pegangan Islam dilanggar mentah-mentah sepanjang ia berkuasa, termasuklah dalam melesenkan aktiviti judi, pengilangan arak, institusi riba’ dan lain-lain maksiat.
Ramai penganalisa menganggap PAS tersepit dalam dilema lantaran serangan Umno ini.
Tetapi dilihat dari “style” kepimpinan PAS sejak dari ia berjaya merampas kembali Kelantan dari tangan Umno pada tahun 1990, merampas “sebentar” Terengganu 1999 dan kini berkuasa dibeberapa negeri bawah payung Pakatan Rakyat, agenda Islamnya tidak pernah padam, malah semakin bertenaga dengan kemenangan-kemenangan luar jangka ini.
Baru-baru ini dalam pidatonya di sebuah majlis ceramah di Shah Alam, Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang menegaskan bahawa Islam akan terus kekal menjadi matlamat perjuangan PAS. Terdahulu dalam sebuah lagi majlis di Kuala Lumpur beliau mengulangi bahawa PAS akan terus berjuang bagi menegakkan sebuah Negara Islam yang menjamin kebenaran dan keadilan serta mempertahankan hak semua pihak.
Benar PAS kini bekerjasama dengan rakan-rakan yang berlainan ideologi dan fahaman, namun demikian ini tidak bermakna yang agenda perjuangan parti itu padam lantaran kerjasama dengan mereka yang berlainan matlamat.
Menurut Presiden PAS hasil dari kerjasama melalui Pakatan Rakyat telah memberikan suatu anajakan paradigma ke arah politik Islam yang diterokai PAS. Jika selama ini PAS bersendirian, kini PAS lebih terbuka dalam memahami dan mentafsirkan realiti masyarakat majmuk dan berbilang anutan di Malaysia. Anjakan paradigm ini dijangka membawa PAS ke persada yang lebih luas lagi dalam politik tanahair.
Jika sebelum ini masyarakat bukan Islam contohnya hasil dari momokan Umno, bimbang akan agenda dan pendekatan Islam yang dibawa PAS, kini khasnya melalui Pakatan Rakyat, mereka dapat melihat keikhlasan PAS malah menyedari bahawa mana-mana pemimpin Melayu yang cenderung dan komited dalam membela agamanya, maka pemimpin seumpama ini adalah pemimpin yang terbaik dalam masyarakat.
Jika sebelum ini PAS digambarkan sebagai sebuah gerakan “ala” Taliban yang kononnya menafikan hak kebebasan kaum dan penganut lain, kini masyarakat bukan Islam mula menerima bahawa propaganda jahat terhadap PAS selama ini adalah tidak benar.
Malahan terbaru Presiden PAS menegaskan bahawa hak kebebasan masyarakat bukan Islam adalah sesuatu yang dijamin bukannya oleh PAS tetapi oleh Allah swt.
Ini sudah pastilah bertepatan dengan firman Allah swt di dalam surah al Maidah ayat ke 8 yang bemaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
PAS dijangka akan terus dipercayai dan disenangi kiranya ia teguh dengan prinsip dan dasar Islamnya. Malahan dari kalangan masyarakat Melayu sendiri mutakhir mengiktiraf bahawa PAS akan terus disegani dan dihormati kiranya Islam yang ia perjuangkan terus didaulatkan.
Banyak usaha-usaha yanbg dilakukan oleh PAS samada di Kelantan, Kedah dan Selangor serta Perak dan Terengganu sebelum ini disenangi dan dikagumi masyarakat Melayu. Pembelaan isu Islam dan kebajikan masyarakat Islam ada diantaranya mengatasi apa yang pernah dilakukan Umno selama ini.
Kemampuan PAS menonjolkan pendekatan dan perancangan Islam dalam menangani masalah rakyat sesungguhnya amat diperlukan khasnya dalam suasana yang kacau dan mencabar ini.
Menuduh PAS menyembunyikan Islam setelah diberi kuasa adalah sesuatu yang tidak berasas malah hakikatnya Islam semakin diberi tempat dan semakin ketara sejak PAS terlibat dalam pemerintahan beberapa buah negeri di Malaysia.
Di Selangor contohnya usaha PAS menyemarakkan Islam dalam berbagai program melalui kerajaan negeri telah disambut baik oleh masyarakat dari kawasan perkampungan tradisional sehinggalah ke serambi istana. Kesedaran Islam diperakui membantu dalam membentuk masyarakat yang baik dan sejahtera. Hakikat ini bukan hanya diperakui oleh orang-orang Islam malah termasuklah pimpinan dan masyarakat bukan Islam.
Penegasan Presiden PAS bahawa agenda Negara Islam akan terus menjadi matlamat perjuangan PAS sekaligus menafikan segala tohmahan dan pertuduhan terhadap satu-satunya parti Islam yang diterajui oleh ulamak di rantau sebelah ini. PAS dijangka terus mendapat sambutan rakyat dan sesiapa sahaja yang “bersyarikat” sengan PAS sudah pastilah akan turut menikmati kesan positif hasil dari gabungan mereka dengan parti yang konsisten dalam perjuangan aqidahnya ini..roslansms@gmail.com
No comments:
Post a Comment