oleh: Misbahul Munir http://misabah.blogspot.com
Persidangan DUN Perak kali ini lebih memperlihatkan keanehan dan kepincangan. Berlaku pelanggaran peraturan yang tidak sepatutnya berlaku. Ganesan sebagai Speaker yang dipertikai cuba mengguna kuasa mengendalikan perjalanan sidang. Ternyata Ganesan gagal mengendali dengan bijak dan baik.
Sejak awal lagi Ganesan melakukan kesilapan besar. Ia bermula dengan penolakan 216 soalan lisan dan bertulis atas alasan soalan-soalan tersebut tidak diemailkan. Sedangkan tidak ada peraturan dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak bahawa soalan-soalan mesti dihantar melalui email. Dalam Perintah-perintah Tetap 22 (2) jelas menyebut bahawa setiap soalan yang ingin dikemukakan oleh ahli dewan hendklah diserahkan soalan tersebut dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh sidang dengan menyerahkan kepada pejabat Setiausaha Dewan dalam waktu pejabat. Semua soalan-soalan tersebut dihantar mengikut peraturan. Di sinilah bermulanya pelanggaran peraturan yang memberangkan semua Adun PR.
Ganesan juga mengeluarkan surat arahan kepada para Adun supaya memasuki bangunan SUK dan Dewan Persidangan yang berbeza waktu antara Adun PR dan BN. Adun BN dibenarkan memasuki bangunan SUK dan Dewan Persidangan lebih awal sedikit berbanding Adun PR. Penggunaan lift dan pintu masuk dewan juga diasingkan antara PR dan BN. Pintu masuk BN tidak diperiksa dengan ketat dan tidak di scan, pintu masuk PR dikawal dengan ketat dan discan.
Ganesan juga membenarkan pasukan polis yang begitu ramai berkawal di luar bangunan SUK, dalam bangunan dan juga dalam dewan persidangan. Ganesan sendiri di kanan kirinya sejumlah anggota polis yang ramai berpakaian preman mengawalnya dengan ketat. Suasana ini cukup tidak mententeramkan dan menyelesakan Adun PR.
Ganesan tidak menghormati "Standing Order" (Perintah Tetap). Dalam amalan mana-mana persidangan di Dewan Rakyat atau DUN, mana-mana Adun yang merujuk Standing Order dengan menyebut "point of order", Dewan hendaklah memberi peluang kepada Adun tersebut untuk membacakan mana-mana fasal berkaitan dengan isu yang mahu dibangkitkan. Ganesan melakukan pelanggaran besar apabila tidak mengindahkan YB Pantai Remis yang menyebut "point of order" dalam perkara yang berkaitan dengan perlantikan Speaker. Ganesan sepatutnya memberi peluang YB Pantai Remis berhujjah, dan beliau boleh menjawab hujjah tersebut.
Pelanggaran yang paling besar sekali yang dilakukan oleh Ganesan ialah memendekkan tempoh soal jawab lisan untuk berpindah ke agenda pembentangan Rang Undang-undang mendahului perbahasan Titah Tuanku. Inilah isu besar yang mengundang kemarahan Adun PR. Beberapa Adun PR cuba membetulkan supaya agenda perbahasan Titah Tuanku hendaklah didahulukan selepas selesai soal jawab lisan. Adun PR merujuk Perintah Tetap 13 (1), Ganesan dengan nada sombong dan angkuh tetap tidak mahu menerima teguran Adun PR, dan terus mahu Pembentangan Rang Undang-undang dibentangkan. Kesombongan dan keangkuhan hanya mempamerkan kebodohannya sebagai seorang Speaker.
Inilah isu yang menyebabkan semua Adun PR mengambil tindakan keluar dewan sebagai protes di atas kesombongan dan keangkuhan Speaker haram Ganesan. Tindakan ini dilihat oleh PR sebagai satu penghinaan dan biadab terhadap Tuanku yang bertitah semalam. Adun PR bimbang sekiranya Rang Undang-undang telah dibentang, dewan akan ditangguhkan oleh Speaker tanpa ada perbahasan Titan Tuanku. Sidang 7 Mei 2009 yang lalu telah berlaku, sidang ditangguhkan begitu sahaja tanpa disambung semula bagi membahaskan Titah Tuanku.
Media arus perdana UMNO BN memberi gambaran yang cukup buruk kepada PR, sedangkan hakikatnya merekalah yang melanggar peraturan dan tidak menghormati hak adun untuk berbahas di dewan. Pembesar suara juga ditutup setiap kali Adun PR mahu mulakan ucapan.
Strategi menghalang orang ramai mengikuti sidang dan menghalang para wartawan membuat liputan melainkan media yang dikuasai oleh UMNO BN ternyata berjaya menutup isu yang sebenar yang berlaku dalam dewan. Media mereka sahaja yang membuat liputan, sudah tentulah laporannya berat sebelah.
Rakyat tidak tertipu dengan propaganda ini, bermula dengan rampasan kuasa dan isu dalam sidang, rakyat Perak semakin benci dengan UMNO BN.
No comments:
Post a Comment