Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Dana Pembangunan Markaz Tarbiyah Al-Mahmudiyah

Minda Mumtaz.

Minda Mumtaz.
Formulasi Makanan Sunnah untuk Perkembangan Minda & Kecerdasan Badan

Friday, August 13, 2010

ANTARA AMALAN SOLEH YANG DITUNTUT DI DALAM BULAN RAMADAN


3 Ramadhan 1431 H
Oleh: Maahad Tahfiz Al Quran Dar Al Abrar
sumber: idhamlim.blogspot

1- BERPUASA

قال :" كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ، اَلْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ، يَقُوْلُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصِّيَامُ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، تَرَكَ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ مِنْ أَجْلِي،لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ، فَرْحَةٌ عِنْدَ إِفْطَارِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ، وَلَخُلُوْفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِنْ رِيْحِ الْمِسْكِ" (أخرجه البخاري ومسلم)

Nabi saw bersabda:“Kesemua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: “Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Ku.

” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua ke-gembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (H.Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2- QIAM

قال :"مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَاناً وَاحْتِسَاباً،غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ." (أخرجه البخاري ومسلم)
Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan (dengan ibadah) kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredoan Allah, maka diampunkanlah untuk dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih)

3- BERSEDEQAH

كَانَ رَسُولُ اللهِ  أَجْوَدَ النَّاسِ،وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُوْنُ فِي رَمَضَانَ،كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنِ الرِّيْحِ الْمُرْسَلَةِ . (متفق عليه)

Nabi saw merupakan saorang dermawan dan baginda lebih pemurah di bulan Ramadan, sifat pemurah baginda bagikan angin yang bertiup kencang.
وقد قال : "أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ فِيْ رَمَضَانَ." أخرجه الترمذي
Sesungguhnya Nabi saw bersabda "Sedeqah yang paling afdhal adalah dibulan Ramadan.H.R Imam Al-Tirmizi

ANTARA BENTUK SEDEQAH IALAH:

A- MEMBERI MAKAN
Firman Allah Taala yang bermaksud : Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.

Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Surah Al-Insan ayat 8-10.

B- MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG BERPUASA
قال رسول الله  :مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْءٌ. (رواه الترمذي)

Sesiapa yang memberi makan untuk berbuka puasa kepada orang yang berpuasa,dia akan memperolehi pahala puasa orang itu tampa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu. (H.R Imam Al-Tirmizi)

4- MEMBACA AL-QURAN
عن أبي أمامة  قال سمعت رسول الله  يقول اِقْرَؤُا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيْعًا ِلأَصْحَابِهِ. رواه مسلم.
Dari Abu Umamah r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bacalah Al-Quran itu, kerana ianya akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya." (Riwayat Muslim)

5- BERZIKIR DI DALAM MASJID SEHINGGA NAIK MATAHARI
عَنْ أَنَسٍ  عَنِ النَّبِيِّ  أَنَّهُ قَالَ:"مَنْ صَلَّى الْفَجْرَ فِيْ جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللهَ حَتَّى تَطْلِعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَاْنَ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ." (أَخْرَجَ التِّرْمِذِيُّ صححه الألباني)
Anas ra berkata:Nabi saw bersabda "Sesiapa yang solat subuh berjamaah kemudian dia berzikir di tempat solatnya sehingga terbit matahari lalu dia solat dua rakaat,balasan untuknya sama seperti mengerjakan haji dan umrah dengan mendapat pahala yang sempurna, sempurna,sempurna.H.R Imam Termizi

6- BERIKTIKAF DI DALAM MASJID
كَانَ النَّبِيِّ  يَعْتَكِفُ فِيْ رَمَضَانَ عَشْرَةَ أَيَّامٍ، فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِي قُبِضَ فِيْهِ اِعْتَكَفَ عِشْرِيْنَ يَوْماً." (أخرجه البخاري)
Adalah Nabi s.a.w. beri'tikaf dalam bulan Ramadhan sebanyak sepuluh hari,pada tahun baginda diwafatkan, maka baginda beri'tikaf sebanyak dua puluh hari." (H.R Al-Bukhari)

7- MENGERJAKAN UMRAH
ثَبَتَ عَنِ النَّبِيِّ  أَنَّهُ قَالَ:"عُمْرَةٌ فِيْ رَمَضَانَ تَعْدِلُ حَجَّةً." (أخرجه البخاري ومسلم(
Nabi saw bersabda "Umrah di dalam bulan ramadan menyamai pahala haji. Muttafaqun alaih.

8- MENCARI MALAM LAILATUL QADAR
Firman Allah yang bermaksud :
1. Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan.

2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

3. Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.

4. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.5. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. Surah AlQadar 1-5
قال  :"مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيْمَاناً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ." (أخرجه البخاري ومسلم)

Nabi s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang menghidupkam malam Lailatul Qadar kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredoan Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih)
عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ:"يَا رَسُولَ اللهِ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَقُوْلَ؟قال :قُوْلِيْ:اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي." (رواه أحمد والترمذي وصححه)

Dari siti Aishah ra katanya: "Saya bertanya:"Ya Rasulullah, bagaimana jikalau saya mendapat malam lailatul-qadar, apakah yang harus saya ucapkan?" Baginda s.a.w. menjawab "Ucapkanah:Ya Allah,sesungguhnya Engkau adalah Maha Pengampun, engkau gemar memberikan pengampunan, maka ampunilah saya. H.R Imam Ahmad dan Imam Al-Tirmizi

9- MEMPERBANYAKKAN ZIKIR,DOA DAN BERISTIGHFAR.
Diantara masa yang disarankan ialah :

1. Ketika berbuka puasa
2. Satu pertiga akhir malam.
3. Beristighfar di waktu sahur
4. Mencari masa yang Ijabah antaranya:

A. Semasa berlakunya Lailatul-Qadar
B. Ketika hujan turun
C. Ketika sujud dalam solat
D. Ketika waktu subuh
E. Semasa berkumpul dalam majlis zikir
F. Ketika dalam solat dan selepas melakukan solat
G. Malam Jumaat dan sepanjang hari Jumaat
H. Ketika khatam (tamat) membaca 30 juz al-Quran
I. Antara azan dan iqamah, dan antara iqamah dan solat.

Makna TAQWA

Mengikut Imam al-Ghazali rahimahullah, kalimah taqwa yang terdapat di
dalam al-Quran al-Karim membawa tiga makna: .

~ Pertama, bermakna takut, gerun atau ngeri (haybah). Antara firman
Allah Taala yang tersisip kalimah takwa yang membawa makna tersebut
ialah: Dan bertakwalah (takutilah) suatu hari yang kamu akan
dikembalikan kepada Allah. (2 : 281)

~ Kedua, bermakna taat. Contohnya seperti yang terdapat dalam firman
Allah yang maksudnya: Hai sekalian orang yang beriman, bertakwalah
(taatlah) kepada Allah dengan sebanr-benar takwa (taat). (3 : 102)

~ Ketiga, mengandungi maksud, menyucikan hati daripada dosa. Contohnya
dalam firman Allah yang mafhumnya: Dan sesiapa taat kepada Allah dan
Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka
itulah orang-orang yang beroleh kemenangan. (24 : 52)

Kalimah "bertakwa" dalam ayat terakhir di atas bukan lagi bermakna taat
atau takut, kerana kalimah-kalimah "taat" dan "takut" telah disebutkan
sebelumnya. dalam ayat di atas. Jadi "bertakwa" dalam ayat di atas
bermaksud, menyucikan hati daripada dosa. Makna yang ketiga inilah
merupakan takrif kepada istilah takwa. Mengikut para ulamak: "Takwa itu
ialah menyucuikan hati daripada dosa, sehingga menguatkan azam untuk
meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala
maksiat".

Imam al-Ghazali membuat kesimpulan : Bahawa takwa itu ialah menjauhkan
setiap apa yang ditakuti akan membawa mudharat kepada agama.
Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidapi penyakit.
Adapun berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa
kerosakan kepada agama pula ialah "bertakwa".

"Taqwa ialah ketundukan dan ketaatan terhadap perintah Allah dan
menjauhi segala apa yang ditegahNya."
*
Di petik dari :
http://www.geocitie s.com/Heartland/ Ranch/6736/ taqwa.html

Tuesday, August 10, 2010

TG Nik Abdul Aziz Nik Mat: Perutusan Khas Ramadhan 1431H : Ramadhan - Penyucian Diri Untuk Kembali Kepada Fitrah

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185


Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA
DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT


Bertarikh : 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak.

Bersama kita meningkatkan iltizam untuk beribadah sehabis baik dalam Ramadhan tahun ini. Ya Allah..berikanlah kami kekuatan untuk beribadah. lembutkanlah hati kami supaya kami dapat merasakan kemanisannya. Amin.


Monday, August 9, 2010

Tinggalkan Umno BN



Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya memahami hakikat sebenar bahawa berlakunya salah urus dan penyelewengan oleh Umno BN sejak sekian lama terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara.

Kegagalan Umno inilah yang menyebabkan berlakunya ketirisan dan ketidakadilan, sehingga yang menjadi mangsa adalah orang Melayu dan Bumiputera sendiri.

Inilah persoalannya yang menghantui rakyat dalam negara kita selama puluhan tahun sejak negara mencapai kemerdekaan, di mana Umno telah bertindak menjadikan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai senjata untuk mereka mempertahankan Umno dan merobek harta negara di atas nama hak keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputra.

Kepada orang Melayu di seluruh negara yang masih bersama Umno, sampailah masanya kini untuk mereka membuat keputusan yang sangat penting kepada masa depan generasi yang akan datang untuk bersama dengan PAS bagi melakukan perubahan yang lebih adil, sesuai dengan keadilan Islam untuk semua.

Cukuplah kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh Umno terhadap orang Melayu, dengan berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri.

Sebagai contohnya, kita tidak sekali-kali lupa terhadap tindakan merampas royalti minyak pada masa pemerintahan Kerajaan PAS di Terengganu, dan kini di Kelantan, di mana ianya adalah keputusan diskriminasi jahat yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno di ketika itu terhadap penduduk negeri yang lebih dari 95% terdiri dari orang Melayu beragama Islam.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera dalam perlembagaan negara sekarang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan sesuatu dasar, dengan syarat ianya tidak sekali-kali berlaku zalim kepada kaum-kaum lain yang menjadi rakyat dalam negara kita ini. Inilah juga yang dipersetujui dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada tahun yang lalu.

Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, tinggalkanlah Umno BN dan marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik peras ugut, untuk kita sama-sama merubah sistem kehakiman, kebebasan media, sistem pilihan raya, keselamatan negara, dan sebagainya untuk melahirkan iklim politik yang lebih adil dan aman di Malaysia.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden PAS.


Read more: http://biaqpila.blogspot.com/#ixzz0w4nX2OH7

Perkara-perkara asas ttg puasa: sekadar peringatan

sumber: islamic-ebook

Firman Allah Ta’ala :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum
kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa ”. (Surah Al-Baqarah Ayat
183)

Pengertian Puasa

Ertinya menahan diri dari makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Hukum – Hukum Puasa

  1. Wajib
  2. Sunat
  3. Makruh
  4. Haram

Puasa
wajib :

Puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadhan, qada’ puasa Ramadhan,puasa kifarah & puasa nazar.

Puasa Sunat :
a) Puasa dalam bulan Sya’ban
b) Puasa 6 hari dalam bulan Syawal
c) Puasa Arafah pada 9 zulhijjah
d) Puasa hari Tasu’a dan ‘Asyura pada 9 & 10 Muharram
f) Puasa pada hari Isnin & Khamis
g) Puasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan pada 13,14 & 15
h) Puasa satu hari berbuka satu hari
i) Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan
haji atau tidak.
j) Puasa dalam bulan–bulan haram iaitu bulan Zulkaedah,Zulhijjah ,Muharram dan Rejab

Puasa Makruh :

a) Menentukan hari untuk berpuasa seperti jumaat sahaja,Sabtu & Ahad sahaja
b) Berpuasa sepanjang tahun

Puasa Haram :

a) Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
b) Puasa pada hari syak iaitu pada hari 30 Sya’ban
c) Puasa pada hari raya aidil fitri,hari raya aidil adha dan hari-hari Tasyrik
d) Puasa perempuan haid & Nifas
e) Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya kerana berpuasa

Syarat-syarat Puasa

Terbahagi kepada 2 :

1) Syarat-syarat wajib

2) Syarat-syarat sah

Syarat wajib

a) Islam
b) baligh
c) berakal
d) berupaya(sihat)
e) bermukim

Syarat Sah

a) Islam
b) Berakal
c) Bersih daripada haid & Nifas sepanjang hari
d) Niat

Rukun Puasa

a) Niat
b) Menahan diri dari makan & minum serta perkara-perkara yang membatalkannya

Masa Puasa

Puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari

Faedah Puasa

a) Melahirkan perasaan belas kasihan terhadap golongan miskin
b) Mendidik nafsu & jiwa kearah kebaikan
c) Dapat merasai apa yang ditanggung oleh golongan miskin
d) Puasa merupakan perbuatan taat kepada Allah
e) Mendidik budi pekerti untuk memiliki sifat-sifat terpuji
f) Puasa mengajar seseorang supaya beramanah terhadap diri sendiri
g) Puasa mengajar kesabaran dan berperaturan
f) Puasa menyebarkan perasaan kasih sayang & persaudaraan dalam jiwa manusia

Sunat-sunat puasa

a) Makan Sahur serta melambatkannya
b) Menyegerakan berbuka puasa & sunat berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis
c) Menjamu orang-orang yang berbuka puasa
d) Mandi junub,haid dan nifas sebelum fajar
e) Memperbanyakkan ibadah dan berbuat kebaikan
f) Membaca Al-Quran
g) Beriktikaf terutama 10 hari terakhir bulan Ramadhan

Perkara makruh ketika berpuasa

a) Berbekam
b) Mengeluarkan darah
c) Berkucup
d) Merasa makanan
e) Bersugi selepas gelincir matahari
f) Mencium wangian

Perkara yang membatalkan puasa

a) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja kecuali terlupa
b) Makan dan minum sepanjang hari
c) Muntah dengan sengaja
d) Bersetubuh atau keluar mani dengan sengaja
e) Keluar darah haid & nifas
f) Gila
g) Pitam atau mabuk sepanjang hari
h) Murtad

Keuzuran yang mengharuskan berbuka puasa

a) Musafir
b) Sakit
c) Mengandung & Ibu yang menyusukan anak
d) Tua

Keistimewaan Bulan Ramadhan

a) Bulan yang mulia,berkat dan setiap doa akan dimakbulkan

b) Allah merahmati orang yang mengimaninya

c) Al-Quran diturunkan dalam bulan ini

d) Iblis dipenjarakan

e) Terdapat malam yang mulia iaitu malam Lailatul qadar.

f) Solat tarawikh dan zakat fitrah dilaksanakan.

Menghormati Bulan Ramadhan

a) Kita hendaklah mengelakkan diri daripada kebiasaan yang boleh merugikan diri kita seperti berbelanja dengan boros,suka berhibur,membuang masa dan bersembang tentang perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah
sebaliknya hendaklah kita menyambut Ramadhan dengan azam yang tinggi untuk
memperbanyakkan ibadat bagi menyucikan jiwa.

b) Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan kerana seseorang yang menanam benih jika tidak membaja,menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan
hasil yang baik di masa hadapan.

Niat Puasa dan Qadha’ Puasa Ramadhan

1) Lafaz niat puasa fardhu Ramadhan :ويت صوم غد عن أداء فرض شهررمضان هذه السنة لله تعالى

Ertinya : Sahaja aku puasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

2) Lafaz niat puasa Qhada’ Ramadhan :نويت صوم غد عن قضاء فرض رمضان لله تعالى .

Ertinya : Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Taala.

Doa Ketika Berbuka Puasa: اللهم لك صمت وبك آمنت وعلى رزقك أفطرت برحمتك ياأرحم الراحمين

Ertinya : Ya Tuhanku keranamu jua aku berpuasa dan denganmu aku beriman dan di atas rezekimu aku berbuka dengan belas kasihanmu Ya Allah yang amat mengasihani.

Qada’ Puasa Ramadhan

Ialah menggantikan puasa yang terbatal pada bulan Ramadhan diatas sebab-sebab yang diharuskan berbuka oleh syara’


Hukum Qada’ Puasa Ramadhan

Wajib menggantikan puasa Ramadhan bagi yang membatalkan puasa Ramadhannya samaada kerana keuzuran ataupun tanpa sebarang keuzuran

Firman Allah Ta’ala :

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ
لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa
diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudianwajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain
dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi
tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengansukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka ituadalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik
bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 184)

Waktu Qada’ Puasa Ramadhan


- Waktunya selepas bulan Ramadhan sehingga ke bulan Ramadhan yang berikutnya walaubagaimanapun qada’ puasa yang dilakukan dalam masa dilarang berpuasa adalah tidak sah contohnya seperti di hari raya.

- Adapun bagi orang yang mengakhirkan qada’ Ramdhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi maka ia wajib qada’ dan membayar fidyah.


Kifarah Puasa

Ialah seseorang yang merosakkan puasanya dalam bulan Ramadhan dengan jalan melakukan jima’ maka ia wajib membayar kifarah (denda) iaitu si suami wajib mengeluarkan kifarah & qada’ puasa yang terbatal kerana jima’ walaubagaimanapun si isteri tidak wajib mengeluarkan kifarah tetapi wajib qada’ puasa yang terbatal.

Kifarah bagi puasa yang batal atau rosak ialah :
1) Membebaskan seorang hamba yang beriman
2) Jika tiada hamba untuk dibebaskan, wajib ke atasnya berpuasa 2 bulan berturut-turut
3) Jika tidak mampu berpuasa, wajib dia memberikan makan 60 orang fakir miskin setiap seorang mendapat secupak makanan asasi negeri itu.


Fidyah

Ialah bayaran denda dengan memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) dengan sebab-sebab tertentu atau mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang
berikutnya datang lagi. Satu cupak bersamaan dengan 620 gram.


Hukum Fidyah

Wajib di keluarkan berdasarkan Firman Allah Ta’ala :

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ
لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang
dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak
terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi
makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan
puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari
yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun
demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu
mengetahui ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 184)

Sebab-sebab wajib Fidyah

1) Tidak mampu melakukan ibadah puasa

2) Sakit yang tidak mampu untuk sembuh

3) Perempuan hamil atau menyusukan anak iaitu jika berpuasa mendatangkan mudharat kepada anak yang di kandung dan boleh mengurangkan air susu

4) Mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi.

Saturday, August 7, 2010

KEJAHATAN ITU BUKAN SATU KEBETULAN…


sb10064243i-001Sumber: http://genta-rasa.com

Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah. Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, bila manusia berdosa dia bukan sahaja nenentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri.

Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya… rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan… tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk ’maju’ setapak lagi. Itulah tahap ke-empat yang lebih dahsyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadi siberdosa itu menjadi pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat… pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.

Justeru wahai diri, berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Ketelanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri… ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah ’peringatan’ yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itukan syarat taubat? Maka susulilah dengan syarat kedua dan ketiga (jika dosa itu dengan Allah). Jika dosa itu dengan manusia, tambahlah lagi dengan syarat yang keempat. Tidak mengapa jika kau terlanjur lagi berdosa selepas itu. Bertaubatlah kembali. Hatimu akan hidup lagi. Selagi ada rasa bersalah, selagi itulah ada sarana untuk kembali kepada Allah. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih-sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.

Wahai diri, biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak ‘menjadi’ berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh ‘nikmatnya’ yang menyebabkan siksa selamanya di akhirat.

Wahai diri, ingatlah… sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. Berhati-hatilah menjaga hati. Tidak mengapa kau selalu menangis kerana dosa… tetapi jangan sampai kau tersenyum kerananya! Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!